


DARO: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang di perairan Tanjung Sirik terus mendapat perhatian apabila beberapa pemimpin negeri turun padang meninjau Pusat Kawalan SAR yang beroperasi di bangunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Bruit, hari ini.
Lawatan tersebut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol.
Turut serta ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab, serta Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh.
Lawatan itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan operasi SAR, memastikan kelengkapan logistik berada dalam keadaan terbaik, selain memberikan sokongan moral kepada anggota pelbagai agensi yang bertugas di lapangan.
Pertemuan tersebut turut membincangkan cabaran dihadapi pasukan SAR sepanjang operasi berlangsung, selain merangka strategi bagi meningkatkan keberkesanan pencarian mangsa.
Operasi SAR di Tanjung Sirik melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta komuniti nelayan setempat.
Oleh Akun Giman