

Mohamad Duri berkesempatan turun padang bagi meninjau kerja-kerja naik taraf bangunan tokong tersebut, hari ini. Foto: ADUN Kalaka
SARATOK: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memainkan peranan penting dalam membantu naik taraf rumah-rumah ibadat di negeri ini, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, usaha ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti berbilang kaum di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau bersama Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid dan Pengerusi Tokong Fung Shan Shu Saratok, Pemanca Lim Guan Ann meninjau kerja-kerja naik taraf bangunan tokong tersebut, hari ini.
Naik taraf bangunan Tokong Fung Shan Shu Saratok menggunakan geran daripada UNIFOR yang diterima pihak tokong awal tahun ini, bagi memastikan kemudahan rumah ibadat itu berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk masyarakat.



Mohamad Duri berkesempatan turun padang bagi meninjau kerja-kerja naik taraf bangunan tokong tersebut, hari ini. Foto: ADUN Kalaka
Mohamad Duri berkata, projek naik taraf ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti itu, tetapi juga menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur komuniti secara keseluruhan.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa projek UNIFOR lain di kawasan DUN Kalaka yang telah melalui beberapa fasa perlaksanaan, termasuk penyelenggaraan dan penambahbaikan rumah ibadat lain.
Pemanca Lim Guan Ann, mewakili Jawatankuasa Tokong Fung Shan Shu Saratok, mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membantu rumah-rumah ibadat di Sarawak melalui inisiatif UNIFOR.
Beliau menegaskan sokongan kerajaan ini membuktikan kepedulian terhadap keharmonian masyarakat majmuk serta pentingnya penyelenggaraan rumah ibadat sebagai pusat kegiatan sosial dan keagamaan di negeri ini.
Oleh Adi Safarman