
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap hari ini menyerahkan surat penganugerahan kepada kontraktor bagi tiga projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan nilai keseluruhan RM640,000.
Projek berkenaan melibatkan penaikan taraf saliran dan penambahbaikan jalan di Sungai Tapang serta Kampung Temedak, bagi menangani masalah yang sekian lama dihadapi penduduk setempat.
Tiga projek tersebut ialah:
- Penaikan taraf saliran di Lorong Sungai Tapang 4 bernilai RM500,000 (Eastline Synergy Resources).
- Penaikan taraf saliran di Lorong Sungai Tapang 9 bernilai RM100,000 (Syarikat Salur Berkat).
- Penaikan taraf jalan di Kampung Temedak bernilai RM40,000 (Faes Enterprise).
Yap berkata, projek ini mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan penduduk melalui tinjauan kawasan dan dialog komuniti.
“Setiap aduan, permintaan dan cadangan daripada penduduk Sungai Tapang dan Kampung Temedak saya ambil serius. Penyerahan hari ini membuktikan bahawa apabila komuniti bersuara, saya mendengar dan saya tunaikan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPP atas profesionalisme dalam memastikan projek RTP dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan.
Yap menegaskan program RTP terus memainkan peranan penting dalam menambah baik infrastruktur di Kota Sentosa dan memberi jaminan lebih banyak penaikan taraf akan dilaksanakan pada bulan-bulan akan datang.
“Keutamaan saya ialah memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan memberi manfaat langsung kepada rakyat, dengan infrastruktur yang selamat, berfungsi dan boleh dipercayai,” ujarnya.
Oleh Connie Chieng