
SIMANGGANG: Regu Saberkas Batang Ai dari Lubok Antu dinobat sebagai juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA) 2025 edisi pertama selepas menewaskan regu AMBS 93 Bungin dalam aksi final yang berlangsung di Gelanggang Sentosa Indah RPR Sri Aman, petang tadi.
Dalam perlawanan yang penuh debaran itu, Saberkas Batang Ai mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas pencabar utama mereka. Persembahan mantap sejak set pertama meletakkan mereka selesa untuk menguasai keseluruhan perlawanan.
Set pembukaan menyaksikan Saberkas Batang Ai menang 15-8 hasil kombinasi serangan kemas serta pertahanan yang kukuh, sekali gus membuatkan regu AMBS 93 Bungin bergelut untuk bangkit. Momentum itu diteruskan pada set kedua dengan kemenangan 15-11.

Dengan kemenangan tersebut, Saberkas Batang Ai membawa pulang Piala Pusingan Presiden PESTASA serta hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat. Sementara itu, regu AMBS 93 Bungin menerima RM700, piala dan pingat sebagai naib juara.
Bagi perebutan tempat ketiga, regu ATC Team dari Kuching menundukkan regu STL 04, juga dari Kuching, dengan kemenangan 2-0. Perlawanan itu menyaksikan keputusan mata 17-15 dan 15-8, sekali gus mengukuhkan kedudukan ATC Team sebagai pemenang tempat ketiga.
Sebagai ganjaran, ATC Team menerima wang tunai RM500 bersama piala dan pingat. Kejayaan mereka turut menunjukkan persaingan sengit antara pasukan yang mengambil bahagian dalam edisi sulung ini.


Dari segi pencapaian individu, Edwin Ejam dari AMBS 93 Bungin dipilih sebagai Apit Kanan Terbaik, manakala Bobby Doman dari Saberkas Batang Ai dinobat sebagai Apit Kiri Terbaik. Rakan sepasukannya, Hilary Dundang pula menerima pengiktirafan sebagai Tekong Terbaik.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Presiden PESTASA, Awangku Hafizi Awang Azahari yang turut merakamkan penghargaan kepada semua regu atas semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan.
Edisi pertama Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PESTASA 2025 ini menyaksikan penyertaan sebanyak 20 regu, sekali gus membuktikan minat mendalam komuniti setempat terhadap sukan tradisional tersebut serta peranan penting PESTASA dalam memperkasa pembangunan sepak takraw di Bahagian Sri Aman.

Turut hadir, Ketua Kaum Taman Sentosa Indah, Awang Kamaruddin Awang Majit serta Pengerusi Gelanggang Futsal Sentosa Indah RPR Sri Aman, Mohammad Alwi.
Oleh Adi Safarman