SRI AMAN: Rumah Panjang Simpai Ili baru-baru ini dipilih sebagai tempat penganjuran Agriculture Community Outreach Programme@AgriCOP Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman.
AgriCOP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang itu disertai 96 petani.
Empat taklimat berkaitan pengusaha tanaman dan ternakan disampaikan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman kepada peserta.
Tajuk taklimat ialah Teknologi Tanaman Lada Hitam oleh Hazman Wahab, Teknologi Tanaman Padi oleh Chadum Lawan, Ternakan Bukan Ruminan oleh Romeo Valentine dan Ternakan Ikan Dalam Tangki oleh Patrick Layong Ulai.
Selain Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman turut memberi taklimat Penerangan Bantuan yang disampaikan oleh wakilnya, Abdul Shamat Kassim.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis ketika berucap merasmikan program itu berkata, AgriCOP penting bagi mengingatkan kembali teknik pengurusan tanaman dalam kalangan penduduk.
Beliau juga memberitahu AgriCOP itu juga merupakan usaha turun padang yang dilaksana oleh Jabatan Pertanian bagi mengingatkan penduduk mengenai pentingnya teknik penternakan untuk mendapatkan hasil yang optimum.
“Sektor pertanian tidak harus dipandang rendah. Sektor pertanian boleh menjana ekonomi di sesebuah kawasan jika ia dilaksana dengan betul dan bersungguh-sungguh oleh penduduk itu sendiri.
“Justeru saya berharap agar penduduk di kawasan DUN Simanggang dapat mengambil peluang untuk memajukan diri dalam sektor pertanian dengan memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh,” kata beliau.
Harden pada akhir program itu menyampaikan Kenyalang Gold Card kepada 64 penerima dari sembilan buah rumah panjang di sini dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada JKKK Lepong Simpai Ili dengan RM2,000 lagi diumum kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Sandin Ajah, wakil Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Wendy Ferrina Tarry, wakil JKM Bahagian Sri Aman, Abdul Shamat Kassim dan Timbalan Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Andar Suntai.
Oleh Valentine Ngumbang