
BINTANGOR: Komitmen kebajikan Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii terus diterjemahkan melalui sumbangan dua unit katil pesakit kepada warga emas terlantar sakit di rumah.
Jurucakap Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei, berkata bantuan tersebut melibatkan dua penerima, iaitu Ngindang Kasi, 90, dari Rumah Tury Retap, Sungai Baron dan Ling Hing Sing, 72, dari Taman Bintang.
“Kedua-dua warga emas ini memerlukan kemudahan khas bagi menyokong penjagaan kesihatan harian mereka.
“Bantuan telah diserahkan kepada penerima oleh pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei yang diketuai oleh Wong Soon Mee,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Tambahnya, penghantaran tersebut dibuat bagi memastikan keluarga pesakit dapat mengurus penjagaan dengan lebih selesa dan sistematik.
“Kami bertindak segera selepas menerima permohonan daripada keluarga dan menghantar katil pesakit terus ke rumah penerima.
“Kami juga memberi tunjuk ajar kepada penjaga bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pesakit sentiasa diutamakan,” katanya.
Tambahnya, penyediaan kemudahan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, malah mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Inisiatif ini selaras dengan keprihatinan Dato’ Sri Huang Tiong Sii terhadap masyarakat setempat, khususnya golongan warga emas yang memerlukan bantuan akibat faktor usia dan kesihatan.
“Keluarga penerima turut melahirkan rasa terharu atas bantuan tersebut dan menyifatkannya sebagai sokongan besar yang membantu meringankan tugas mereka dalam menjaga ahli keluarga yang uzur,” katanya.
Oleh Earl Anek