
MIRI: Beberapa jalan utama di sekitar Dataran Kipas akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada Perarakan Krismas Bandaraya Miri (MCCP) 2025, bermula pada 4.30 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata penutupan penuh akan membabitkan Bulatan Kipas/Jalan Kipas, Simpang Jalan Merpati, Jalan Persekutuan/Jalan Sylvia, Jalan Post/Jalan Sylvia serta persimpangan lampu isyarat Ambank.
Beliau berkata beberapa laluan turut akan dilencongkan, antaranya Jalan Merdu ke Jalan Bintang Jaya 5, Jalan Sylvia ke Jalan Brooke, Jalan Brooke ke Jalan Kingsway, serta Bulatan Kenyalang ke Jalan Bendahara dan Jalan High Street.
“Orang awam yang ingin menyaksikan perarakan disarankan supaya meletakkan kenderaan di kawasan parkir berhampiran SK Bintang, Stadium Tertutup Miri dan Stadium Terbuka Miri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
Beliau dalam masa sama meminta orang ramai mematuhi arahan petugas bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar dan selamat.
Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-430479.
Oleh Liong Chai Ling