
MIRI: Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) mengalu-alukan pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai insentif sekali bayar RM700 untuk pengamal media swasta berdaftar, sambil menyifatkannya sebagai pengiktirafan bermakna terhadap peranan penting wartawan dalam berkhidmat kepada orang ramai.
Menurut kenyataan media Presiden NSJA Chai Chon Chin berkata insentif tersebut mencerminkan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan serta penghargaan kepada media sebagai rakan penting dalam pembangunan Sarawak, khususnya kepada petugas media yang berkhidmat dalam sektor swasta.
“Walaupun bantuan RM700 tersebut tidak menangani cabaran yang lebih besar dan berpanjangan yang dihadapi industri media, termasuk peningkatan kos operasi, isu ganjaran dan keperluan untuk latihan berterusan, ia tetap merupakan langkah positif dan menggalakkan yang menunjukkan sokongan kerajaan terhadap profesion ini.
“NSJA turut menzahirkan harapan agar inisiatif tersebut membuka jalan kepada sokongan yang lebih tersusun dan mampan untuk pengamal media swasta pada masa hadapan, terutamanya dalam aspek pembangunan profesional, perlindungan kebajikan dan peluang peningkatan kerjaya untuk wartawan muda,” katanya.
Tambahnya, NSJA juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan insentif tersebut disalurkan dengan cekap dan sampai kepada semua penerima yang layak.
“NSJA merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan itu dan menegaskan komitmennya untuk terus mengamalkan profesionalisme, pelaporan beretika dan kewartawanan berkepentingan awam demi manfaat rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu