

SARATOK: Sebanyak 10 premis di sekitar daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) sepanjang operasi dijalankan dari Jun hingga November tahun ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata Op Dadu Khas oleh IPD Saratok mencatatkan lebih 24 pemeriksaan ke atas premis di seluruh daerah berkenaan dalam tempoh enam bulan itu.
Beliau berkata, kesemua 10 premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dipercayai dan disyaki terbabit dengan kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurutnya, tindakan pemotongan sumber elektrik tersebut dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membenarkan penguatkuasaan ke atas premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian.
“Langkah ini diambil bagi menyekat aktiviti perjudian yang mengganggu ketenteraman awam serta memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mathew berkata, IPD Saratok komited membanteras kegiatan perjudian dan jenayah melalui operasi berterusan, risikan strategik serta kerjasama masyarakat setempat.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan demi memastikan persekitaran yang aman, selamat dan bebas daripada ancaman jenayah serta kegiatan tidak bermoral.
Oleh Adi Safarman