
LAWAS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir Sabtu diharap akan membawa negeri jiran itu terus maju jaya.
Pembentukan kerajaan yang stabil amat diperlukan melalui mandat dan sokongan rakyat bagi memastikan pembangunan berterusan di Sabah.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, menegaskan bahawa kestabilan politik di rantau ini penting untuk memakmurkan wilayah Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.
“Pilihan raya Sabah sudah selesai dan yang penting sekarang ialah pembentukan kerajaan baharu. Terpulang kepada gabungan yang akan membentuk kerajaan demi memastikan Sabah terus maju jaya.
“Kita perlu kepada kestabilan politik dalam memajukan ekonomi di wilayah Borneo agar kedua-dua wilayah berjiran iaitu Sabah dan Sarawak dapat terus bergerak maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penutupan Kejohanan Lipat Takraw SeBorneo Terbuka 2025 Piala Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Arena Lawas, semalam.
Beliau turut menggesa rakyat agar terus kekal harmoni dalam memastikan kerajaan yang stabil dapat diwujudkan.
Beliau menegaskan kemakmuran negeri jiran Sabah akan turut memberi manfaat kepada Sarawak.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Haji Jawa, Pegawai Daerah Lawas serta kenamaan tempatan lain.
Oleh Adeng Edrus