Empat kilang musnah kebakaran di hadapan BBP Kota Sentosa

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan empat kilang di hadapan BBP Kota Sentosa. Foto JBPM

KUCHING: Empat kilang musnah dalam satu kebakaran besar di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa petang tadi, sekali gus mencetuskan operasi pemadaman besar-besaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 5.56 petang sebelum anggota dari BBP Kota Sentosa, dengan bantuan BBP Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang, digerakkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, PBK II TBBK II Awang Iskandar Rasyid Awang Seruji berkata, kebakaran berkenaan melibatkan empat premis perindustrian dengan tahap kemusnahan berbeza.

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan empat kilang di hadapan BBP Kota Sentosa. Foto JBPM

“Kilang pertama, iaitu bengkel kereta, mengalami kemusnahan sekitar 40 peratus. Kilang kedua yang menempatkan perniagaan perabot pula terbakar kira-kira 70 peratus, manakala sebuah lagi kilang membaiki peti sejuk turut musnah 70 peratus.

“Kilang keempat yang memproses besi buruk mengalami anggaran kemusnahan 20 peratus,” katanya.

Setiap kilang dianggarkan berkeluasan 70×40 kaki persegi.

Seramai 23 anggota terlibat dalam operasi berkenaan bersama penggunaan tiga jentera FRT dan lori tangki air.

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan empat kilang di hadapan BBP Kota Sentosa. Foto JBPM

Turut berada di lokasi ialah Pegawai Kanan Zon, PKPgB Azaharul Sahari, serta PBT Jankey Jikat selaku Komander Operasi Kanan.

Setakat laporan dikeluarkan, usaha pemadaman masih dijalankan bagi memastikan api dapat dikawal sepenuhnya dan tidak merebak ke struktur berhampiran. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.