
BETONG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong menerima dua panggilan kecemasan serentak berkaitan insiden pokok tumbang susulan angin kencang dan ribut yang melanda kawasan itu sekitar 4.15 petang tadi.
Menurut kenyataan APM Betong, kejadian berlaku di dua lokasi berbeza iaitu Stesen Bas Medan Betong dan Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong.
Seramai empat anggota digerakkan ke lokasi pertama di Stesen Bas Medan, manakala enam anggota dihantar ke Kuarters JKR untuk memberi respon terhadap insiden tersebut.
Di lokasi pertama, pokok tumbang mengenai kereta. Namun, tiada kerosakan serius dilaporkan dan pemilik telah mengalihkan kenderaan tersebut sebelum ketibaan pasukan APM.

Tiada kemalangan jiwa berlaku. Anggota APM kemudian memotong dan membersihkan kawasan bagi keselamatan pengguna jalan, mengambil masa tujuh minit untuk menyelesaikan kerja tersebut.
Sementara itu, di Kuarters JKR, pokok tumbang menghempap bahagian belakang sebuah rumah sehingga menyebabkan kerosakan struktur pada bahagian tersebut. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Kerja pemotongan dan pembersihan pokok di lokasi kedua mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memastikan keselamatan penghuni rumah dan kawasan sekitar.
APM Betong menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada terutama ketika cuaca tidak menentu serta melaporkan segera insiden berisiko bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Oleh Adi Safarman