LINGGA: Rumah Johnson Intai Paul, Seduku Panjai di sini telah menjadi lokasi ketiga bagi tujuan penganjuran ‘Agriculture Community Outreach Programme’ atau AgriCOP yang ketiga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga pada Khamis lepas.
AgriCOP DUN Lingga kali ketiga ini telah melibatkan penyertaan seramai 105 peserta dari empat rumah panjang termasuk Kampung Lingga di sini setelah program kali keduanya diadakan di Kampung Melayu Stumbin pada 8 September lepas.
Menerusi program berkenaan, kesemua peserta telah pun disajikan dengan demonstrasi penghasilan sos pedas nanas di samping mendengar taklimat mengenai cara penanaman buah itu termasuk jagung.
Selain itu para peserta program berkenaan juga turut diberi taklimat mengenai ternakan ikan dalam tangki atau kolam dan taklimat hidroponik (NFT) yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Pertanian Daerah Sri Aman.
ADUN Lingga, Simoi Peri ketika berucap merasmikan AgriCOP di Seduku Panjai tersebut menasihat peserta agar meng’hadam’ sebaik mungkin ilmu yang mereka peroleh menerusi program berkenaan.
“Ilmu yang disampaikan kepada peserta menerusi AgriCOP ini adalah amat penting agar mereka terutama sekali yang tinggal di kawasan luar bandar dapat mencari jalan baharu untuk mempertingkatkan pendapatan keluarga masing-masing.
“Dengan adanya pembabitan peserta dalam AgriCOP ini maka mereka secara tidak langsung berpeluang untuk menjadi usahawan tani dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan di kawasan masing-masing pada masa akan datang,” kata beliau.
Simoi juga turut menyarankan peserta agar berkongsi ilmu tersebut dalam kalangan penduduk yang lain ke arah menjadi Lingga salah sebuah ‘bakul makanan’ di negeri ini pada masa akan datang.
Beliau pada akhir program itu telah pun mengumumkan peruntukan sebanyak RM6,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Johnson, Seduku Panjai bagi menyokong aktiviti mereka sepanjang tahun ini.
Simoi juga turut menyerahkan Kenyalang Gold Card kepada wakil warga emas dari empat buah rumah panjang di sini di sampung mengumum projek membaik pulih Rumah Panjang Seduku Panjai di bawah Program Transformasi Luar Bandar DUN Lingga 2020.