Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Ribut Tropika Senyar: Tanah runtuh, pokok tumbang di Seremban, Port Dickson
  • NASIONAL

Ribut Tropika Senyar: Tanah runtuh, pokok tumbang di Seremban, Port Dickson

Utusan Sarawak 5 hours ago
KEADAAN di beberapa beberapa kawasan sekitar Rantau Panjang yang mula digenangi air limpahan sungai golok ketika tinjauan di sini hari ini. Setakat jam 6.00 petang paras air sungai mencatatkan bacaan 10.36 meter melebihi paras bahaya. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan, antara kawasan yang terjejas akibat Ribut Tropika Senyar, yang dikesan memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang semalam, menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

Berikutan kejadian ribut awal pagi tadi, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri melaporkan berlakunya insiden tanah runtuh dan beberapa kejadian pokok tumbang di dua kawasan berkenaan.

Menurut laporan itu, satu kejadian tanah runtuh berlaku sekitar 3.55 pagi di kawasan perumahan di Jalan Bukit Berlian 2, Taman Bukit Berlian, Seremban.

“Enam penduduk dipindahkan daripada kediaman masing-masing dan kerja-kerja pemantauan masih dijalankan,” menurut kenyataan JBPM hari ini.

Dalam kejadian 3.10 pagi pula, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun dilaporkan cedera selepas melanggar pokok tumbang berhampiran AEON Seremban 2, dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawaran, manakala sebuah kereta Proton Saga dihempap pokok tumbang di kawasan Hotel Ehsan Sea View, Port Dickson namun tiada mangsa terlibat.

Sementara itu setakat 8.00 pagi ini, Selangor, Terengganu, Kedah dan Perak mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir manakala Kelantan dan Perlis menunjukkan pengurangan, dengan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

GELAGAT sekumpulan pemuda meredah banjir dengan menggunakan motosikal yang diubahsuai di jalan Kampung Hulu Seladang – Bandar Permaisuri, hari ini. Jumlah mangsa banjir di Terengganu berjumlah 4,070 orang daripada 1,237 keluarga yang ditempatkan di 40 PPS melibatkan tujuh daerah. Foto BERNAMA

Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 4,191 orang daripada 1,274 keluarga yang berlindung di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8.00 pagi berbanding 3,667 orang daripada 1,245 keluarga malam tadi.

Berdasarkan laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,305 orang (367 keluarga) yang ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Kemaman 1,219 orang (323 keluarga) di 13 PPS dan Setiu 1,105 orang (393 keluarga) di 21 PPS.

Selain itu di Kuala Terengganu, sebanyak 227 orang (98 keluarga) ditempatkan di dua PPS, diikuti Dungun 197 orang (45 keluarga) di enam PPS, Besut 74 orang (30 keluarga) di enam PPS dan Hulu Terengganu 64 orang (18 keluarga) di tiga PPS.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di lima stesen iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman, Sungai Chalok di  Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Setiu di Kampung Bukit, Setiu telah melepasi tahap bahaya.

Selain itu, dua stesen termasuk Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu dan Sungai Marang di Jambatan  Pengkalan Berangan, Marang melepasi paras amaran.

KEADAAN banjir yang di pekan Kangar ketika tinjauan FotoBernama hari ini. Foto BERNAMA

Di KEDAH jumlah mangsa banjir juga meningkat semula kepada 4,543 orang daripada 1,454 keluarga pagi ini, berbanding 4,272 orang daripada 1,412 keluarga, malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu berlindung di 22 PPS.

Daerah Kubang Pasu mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 2,499 orang daripada 843 keluarga berlindung di 14 PPS, diikuti Kota Setar 1,928 orang (576 keluarga) ditempatkan di enam PPS serta 116 orang (35 keluarga) berlindung di dua PPS di daerah Pokok Sena.

Situasi sama turut berlaku di PERAK apabila jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 5,861 mangsa daripada 1,776 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS berbanding 5,351 orang daripada 1,637 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 2,270 orang daripada 687 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS.

Jumlah mangsa di Hilir Perak terus bertambah kepada 1,635 orang daripada 502 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS manakala Perak Tengah merekodkan 1,418 mangsa daripada 407 keluarga.

Bagan Datuk merekodkan 396 mangsa serta Larut, Matang dan Selama pula sebanyak 117 orang dan 25 mangsa masih berlindung di dua PPS di Muallim.

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mengangkat mangsa yang terjejas akibat banjir dalam satu tinjauan foto Bernama di Kampung Sungai Nipah Darat, hari ini. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 34,289 mangsa, melibatkan 11,547 keluarga, berlindung di 220 pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka di tujuh buah negeri iaitu Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, Terengganu, Pahang serta Selangor. Foto BERNAMA

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,718 orang daripada 719 keluarga pagi ini berbanding 2,603 mangsa melibatkan 691 keluarga malam tadi.

Menurut laman web Infobencana JKM, sebanyak 16 PPS dibuka membabitkan tiga daerah iaitu Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. 

Di Sepang, beberapa kawasan di Kampung Salak Sepang dan Kampung Chingchang dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata lapan anggota digerakkan bagi memantau keadaan banjir di Kampung Salak Sepang.

JBPM Selangor juga katanya turut melaksanakan pemantauan di kawasan berisiko di Sepang seperti Kampung Labu Lanjut, Pintu Kunci Air Labu Lanjut dan Kampung Pinang Sebatang.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 486 orang daripada 160 keluarga berbanding 63 orang daripada 18 keluarga pada semalam.

Menurut Infobencana JKM, Kuantan menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan merekodkan 212 orang daripada 73 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS, manakala 202 orang (66 keluarga) ditempatkan di lapan PPS di Raub dan 72 orang (21 keluarga) berlindung di empat PPS di Lipis.

Di NEGERI SEMBILAN, hujan berterusan sejak petang semalam hingga awal pagi ini telah mengakibatkan banjir melanda di beberapa kawasan sekitar Port Dickson dan  dua PPS dibuka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata setakat 7.30 pagi ini, sebanyak 28 mangsa membabitkan empat keluarga telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Jimah Lama dan Balai Raya Permatang Pasir.

“Keadaan kini terkawal dan kita masih lagi mengumpulkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan mengenai kejadian tersebut,” katanya.

KEADAAN sungai di Perlis yang melimpah mengakibatkan banjir di pekan Kangar, menurut tinjauan FotoBernama hari ini. Situasi banjir semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 7,607 orang daripada 2,272 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi.i. Foto BERNAMA

Sementara itu di KELANTAN, mangsa banjir menunjukkan pengurangan iaitu 6,318 mangsa daripada 2,308 keluarga pagi ini berbanding 7,849 mangsa malam tadi, yang kini berlindung di 40 PPS.

Menurut Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan, Tumpat merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,581 orang daripada 1,360 keluarga, diikuti Bachok dengan 1,458 mangsa (460 keluarga) dan Pasir Mas 217 mangsa (111 keluarga).

Daerah lain yang terjejas ialah Machang (450 mangsa, 172 keluarga), Tanah Merah (312 mangsa, 102 keluarga), Kuala Krai (222 mangsa, 75 keluarga) dan Gua Musang (100 mangsa, 28 keluarga). Tiada pemindahan dilaporkan di Kota Bharu, Jeli dan Pasir Puteh.

Setakat ini, dua kematian direkodkan, membabitkan seorang mangsa bukan warganegara.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir turut menunjukkan pengurangan kepada 7,609 orang setakat pagi ini berbanding 7,624 mangsa malam tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis setakat 8 pagi ini, sebanyak 24 PPS masih beroperasi melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ribut tropika Senyar: Sentiasa waspada, amaran risiko keselamatan penerbangan – CAAM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.