
PETRA JAYA: Kebimbangan terhadap peningkatan kes penyakit berjangkit di Serian serta masalah internet dan bekalan asas di kawasan luar bandar menjadi fokus utama perbahasan, menurut Simon Sinang Bada (Tebedu-GPS).
Beliau menzahirkan penghargaan bagi pihak rakyat Tebedu atas kelulusan pelbagai projek pembangunan oleh kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun menegaskan terdapat isu kritikal yang perlu ditangani segera.
Dr Simon berkata, peningkatan jangkitan Tuberkulosis (TB), Denggi dan kes terbaharu melibatkan seorang pelajar yang dijangkiti Japanese Encephalitis (JE) meskipun telah menerima vaksin, amat membimbangkan penduduk setempat.
Beliau menjelaskan tiga kes denggi turut dikesan, manakala kes TB menunjukkan tren meningkat di Bahagian Serian.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Persidangan hari ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
“Keadaan ini memerlukan pemantauan rapi. Saya menggesa jabatan Residen, Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan serta Majlis Daerah Serian bekerjasama mencari punca dan jalan penyelesaian. Bagi isu JE, saya berharap Jabatan Veterinar turut digerakkan untuk membendung penularan,” katanya.
Dalam aspek infrastruktur perhubungan digital, beliau menegaskan masalah internet lemah, talian tidak stabil serta kelajuan rendah masih membelenggu banyak kampung di N21 Tebedu.
“Internet hari ini bukan lagi kemewahan, ia keperluan. Tetapi pelajar masih sukar menyiapkan tugasan dalam talian, manakala peniaga tidak dapat memanfaatkan platform digital,” jelasnya.
Menurut Simon, gangguan bekalan elektrik turut menjejaskan capaian internet di sekolah-sekolah sekitar Tebedu dan Tebakang, termasuk insiden pada 25 November lalu apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar tiang elektrik sehingga menyebabkan gangguan menyeluruh di kawasan bandar Mutiara dan SMK Tebedu.
“Masalah bekalan elektrik, air dan internet yang terputus terlalu kerap berlaku. Ramai berdepan kes pokok tumbang menghempap talian elektrik, selain punca lain yang tidak diketahui,” katanya.
Beliau sekali lagi menggesa Sarawak Energy Berhad (SEB), Sesco serta kontraktor berkaitan melaksanakan lawatan kerja berkala bagi memantau pokok tinggi dan dahan berisiko di sepanjang laluan Serian–Tebedu, Tebakang–Mongkos serta jalan-jalan yang menghubungkan 59 kampung di DUN Tebedu.
“Saya telah bangkitkan isu ini pada setiap persidangan DUN. Penduduk berharap penyelesaian menyeluruh dapat dilaksanakan,” tegasnya.
Oleh Norman B.