
PETRA JAYA: Jambatan Sebauh di Bintulu akan dibuka kepada orang ramai pada 6 Disember depan, sekali gus dianggap sebagai ‘hadiah Krismas paling bermakna’ bagi komuniti Sebauh dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pembukaan jambatan itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan memudahkan pergerakan harian, memendekkan masa perjalanan serta menyokong aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.
“Jambatan Sebauh akan dibuka kepada pengguna jalan raya pada 6 Disember.
“Ini adalah hadiah Krismas yang paling bermakna bagi komuniti Sebauh dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Uggah turut memaklumkan beliau akan merasmikan majlis prapelancaran jambatan berkenaan sempena pembukaan awal kepada orang ramai.
Menurut beliau, pembukaan Jambatan Sebauh merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk menambah baik jaringan perhubungan, khususnya bagi memastikan akses yang lebih selamat, cekap dan selesa bagi penduduk di kawasan terlibat.
Oleh Adi Safarman