
BINTANGOR: Seramai 31 peserta terdiri daripada kanak-kanak Tadika Kemas Pakan, ibu bapa dan guru pengiring mengadakan lawatan sambil belajar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor pada pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang bermula sekitar 8.30 pagi tersebut disertai oleh 16 kanak-kanak, 13 ibubapa dan dua guru pengiring.

“Pasukan Bravo BBP Bintangor yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Haron Jenai telah melaksanakan pelbagai pengisian sepanjang lawatan.
“Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai aspek keselamatan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, aktiviti tersebut merangkumi ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, pengenalan dan fungsi alat pemadam api serta demonstrasi ‘berhenti, rebah dan guling’.
“Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan demonstrasi tatacara mengendalikan kebakaran dapur melalui modul Celik Suri serta demonstrasi memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api dan kekili hos.

“Lawatan ini turut diserikan dengan pameran pelbagai peralatan kebombaan dan membawa kanak-kanak menaiki jentera bomba bagi memberi pengalaman lebih dekat dengan tugas bomba.
“Alhamdulillah, keseluruhan aktiviti berjalan dengan lancar dan jayanya tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Oleh Earl Anek