KUALA LUMPUR: Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan dan pihak berkepentingan industri agar mempunyai rancangan komprehensif bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya apabila vaksin Covid-19 diluluskan dan tersedia untuk pengedaran.
Persatuan itu turut mengingatkan mengenai potensi kekangan kapasiti yang buruk untuk membawa vaksin berkenaan melalui udara.
Menurutnya, kargo udara memainkan peranan utama untuk mengedarkan vaksin ini pada waktu biasa melalui sistem pengedaran masa dan suhu di peringkat global yang kukuh.
“Keupayaan ini adalah penting untuk pengangkutan yang efisien dan pantas serta pengedaran vaksin sebaik ia tersedia kelak, dan ini tidak akan berlaku tanpa perancangan yang berhati-hati, diketuai oleh kerajaan dengan sokongan pihak berkepentingan industri,” menurut IATA dalam kenyataan semalam.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IATA, Alexandre de Juniac berkata penghantaran vaksin Covid-19 yang selamat akan menjadi misi industri kargo udara di peringkat global.
“Kami menggesa kerajaan menjadi peneraju untuk memudahkan kerjasama di seluruh rantaian logistik agar kemudahan, pengurusan sekuriti dan proses sempadan bersedia menjelang tugas yang lebih kompleks pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, CEO Perikatan Vaksin Sedunia (Gavi), Dr Seth Berkley berkata penyerahan berbilion dos vaksin ke seluruh dunia dengan berkesan akan mewujudkan halangan logistik di seluruh rantaian bekalan.
“Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan, pengeluar vaksin dan rakan logistik untuk memastikan vaksin global Covid-19 yang selamat dan mampu milik,” katanya,
IATA berkata selain keperluan membabitkan persediaan pengangkutan dan penyelarasan, kerajaan juga perlu mengambil kira keupayaan kargo industri pengangkutan udara global yang semakin merosot pada masa ini.
Pengangkutan darat akan dapat membantu menangani masalah ini di negara-negara maju menerusi kapasiti pengeluaran tempatan.
Bagaimanapun, vaksin berkenaan tidak boleh diedarkan ke seluruh dunia tanpa penggunaan kargo udara yang signifikan, kata IATA. – Bernama