PADAWAN: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Padawan Growth Centre (PGC) dan Pusat Penjaja Braang (PPB) untuk menaikkan sosioekonomi di kawasan Padawan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil, kedua-dua pusat perniagaan ini akan ditadbir urus oleh Persatuan Bidayuh Braang Padawan sendiri.
Tambahnya lagi, antara sebab utama kawasan PGC ini diwujudkan adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan salah satu hasil produk tempatan iaitu tanaman kopi.
Jerip yang merangkap Menteri Muda Pengangkutan Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Program Kunjungan Kasih Dan Rohani anjuran Persatuan Bidayuh Braang Padawan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Braang Bidak bagi menyantuni dan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat Braang di sini, semalam.
Di samping itu, beliau telah meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM100,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Braang Bidak dengan pecahan masing-masing.
Sebanyak RM40,000 akan digunakan bagi tujuan menaik taraf balai raya yang sedia ada dan RM20,000 lagi diserahkan kepada Biro Wanita Kampung Braang Bidak bagi tujuan aktiviti tempatan.
Selain itu, sejumlah RM20,000 pula dikhaskan untuk AJK Pembangunan Gereja Katolik St Francis, Braang Bidak, manakala RM20,000 lagi diserahkan kepada Ladies Gil, Gereja Katolik St. Francis, Braang Bidak.
Tambahnya, beliau juga mengambil maklum terhadap isu balai raya usang di kawasan tersebut dan merancang untuk membina dewan baru serta jalan menuju ke kawasan air terjun Sebarau Waterfall.
Oleh Akmal Adib Yusup