
MIRI: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di beberapa sekolah menengah sekitar Miri menerima suntikan semangat apabila Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menghulurkan sumbangan set peralatan tulis sebagai persediaan menghadapi peperiksaan penting itu.
Inisiatif menerusi program Penyerahan Peralatan Tulis SPM itu melibatkan semua sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Miri dan bertujuan membantu pelajar membuat persiapan akhir di samping memberi sokongan moral menjelang hari peperiksaan.
Menurut Chiew, usaha tersebut bukan sekadar meringankan beban pelajar, malah menjadi simbol keprihatinan terhadap masa depan generasi muda yang bakal mencorakkan hala tuju negara.


UNTUK ALBUM…Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man merakamkan gambar kenangan bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Pelajar perlu memanfaatkan masa yang ada untuk membuat ulang kaji secara konsisten dan berdisiplin.
“Kejayaan tidak datang bergantung kepada kebijaksanaan semata-mata, tetapi melalui usaha gigih dan semangat yang tidak mudah luntur,” katanya.
Chiew turut menggesa para pelajar supaya melakukan ‘pecutan terakhir’ dengan penuh komitmen dan keyakinan agar mampu memperoleh keputusan cemerlang.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2025, khususnya pelajar dari Miri.
“Teruskan berusaha, jangan mudah berputus asa dan yakin dengan kebolehan diri. Masa depan anda bermula hari ini,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling