

BEKENU: Dua lelaki dewasa terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Subak Bekenu, Batu Niah di sini, petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.14 petang sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi sejauh 53 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta yang berada di tepi jalan dan telah terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula, pam jentera serta sumber air dari tangki jentera,” menurut kenyataan itu.
Operasi tamat sepenuhnya pada 4.26 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling