
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijadual membentangkan dua rang undang undang (RUU) kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berlangsung esok sehingga 3 Disember ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2025 akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada 24 November, diikuti bacaan kedua pada 27 November.
RUU berkenaan dijangka memperincikan keperluan perbelanjaan tambahan kerajaan negeri bagi tahun 2025.
Pada 25 November pula, Uggah dijadual meneruskan agenda persidangan dengan pembentangan Rang Undang Undang Sumber Mampan dan Pengurusan Sisa 2025 untuk bacaan kedua dan ketiga.
RUU ini berkaitan kerangka pengurusan sumber secara mampan serta pengendalian sisa yang lebih teratur di peringkat negeri.
Persidangan DUN yang berlangsung di Kuching itu menjadi medan utama kerajaan negeri membentangkan dasar dan rang undang undang penting bagi kelangsungan tadbir urus kewangan serta pembangunan mampan Sarawak.
Oleh Adi Safarman