

MUSNAH…Keadaan sebuah kereta musnah keseluruhan selepas terbakar dalam kejadian berhampiran lampu isyarat Bintulu–Similajau, pagi tadi. FOTO BBP Kidurong.
BINTULU: Sebuah kenderaan musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran lampu isyarat Bintulu–Similajau, di sini, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta yang berada di tepi jalan dan didapati telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula pam dengan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam satu kenyataan.
Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada 11.51 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba.