
MIRI: Majlis Makan Malam Pra Krismas anjuran Persatuan Kenyah Lepo Aga’ (PKLA) berlangsung malam tadi di sini, menjadi wadah memperkukuh semangat kebersamaan, kasih sayang serta perpaduan dalam kalangan komuniti Lepo Aga’.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, dalam ucapannya memuji usaha PKLA yang konsisten menyatukan masyarakat Kenyah Lepo Aga’ sejak penubuhannya pada 1985.
Menurut beliau, PKLA telah memainkan peranan penting menghimpunkan komuniti dari Long Je’eh, Long Belaong dan Long Teran Kanan B, di samping aktif membantu ahli yang memerlukan menerusi sokongan kebajikan serta pelbagai inisiatif sosial.
“Majlis seperti ini bukan sahaja meraikan Krismas, tetapi menjadi simbol perpaduan, harapan dan semangat kekeluargaan yang kukuh dalam komuniti Lepo Aga’.
” Nilai pengorbanan dan kepedulian jelas terpancar melalui sokongan padu antara satu sama lain,” katanya.



MERIAH…Majlis Makan Malam Pra Krismas malam tadi berlangsung dengan meriah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen PKLA dalam memperkasa generasi muda, khususnya dalam bidang pendidikan, termasuk pemberian penghargaan kepada pesara, pelajar cemerlang serta anak-anak Lepo Aga’ yang berjaya dalam akademik.
Datuk Gerawat menegaskan bahawa perpaduan tidak terjalin dengan sendiri, sebaliknya perlu dibina melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kefahaman antara satu sama lain.
“Walaupun berbeza latar belakang, kita berkongsi matlamat sama untuk hidup aman, maju dan sejahtera sebagai satu keluarga besar,” tambahnya.
Mengakhiri ucapan, beliau bersama keluarga merakamkan ucapan Selamat Hari Natal dan Tahun Baharu kepada seluruh warga Kampung Lepo Aga’, sambil mendoakan agar semua terus diberkati dan dilimpahi kesejahteraan.
Oleh Liong Chai Ling