
JULAU: Seramai 130 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Luau telah menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran, bertujuan meningkatkan pengetahuan dan langkah berjaga-jaga terhadap risiko kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program bermula pada 9.00 pagi.
“Hadir bagi mengendalikan program tersebut ialah empat anggota bomba.
“Antara pengisian program ialah latihan pengungsian bangunan, ceramah kesedaran keselamatan kebakaran, demonstrasi pemadaman api dan pengendalian kebakaran dapur,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, program ini penting untuk memastikan semua warga sekolah mengetahui langkah yang perlu diambil ketika berlakunya kecemasan.
“Program dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal mengenai keselamatan kebakaran dan cara bertindak jika berlaku kecemasan di sekolah.
“Alhamdulillah, program berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.
Tambahnya, kerjasama pihak sekolah membantu menjayakan usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat terhadap risiko kebakaran.
Oleh Earl Anek