

SEMATAN: Sebuah bas musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran di Kampung Tanah Hitam petang tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 3.22 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerahkan ke lokasi.
“Jentera tiba pada 3.45 petang, dengan jarak perjalanan sekitar 32 kilometer dari balai.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 4.00 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.34 petang,” katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, setibanya pasukan bomba diketuai Komander Operasi, PBK II TBK I Santia Silon, di lokasi, didapati sebuah bas sedang marak terbakar.
“Pasukan membuat penilaian awal di lokasidan melaksanakan aplikasi RECEO. Kami dimaklumkan bahawa orang kampung telah melakukan tindakan awal dengan menggunakan alat pemadam api yang terdapat di dalam bas.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air pili bomba menerusi pam angkut Godiva HP 10/10 dengan dua aliran sepanjang 100 kaki,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.
“Setelah api dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba melakukan kerja-kerja overhaul sebelum meninggalkan lokasi sebaik keadaan disahkan selamat.
“Seramai enam anggota terlibat dalam operasi menggunakan sebuah jentera Hilux serta satu unit EMRS,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah