
SARATOK: Pihak sekolah, guru serta ibubapa dihargai atas komitmen berterusan mereka dalam memastikan pendidikan al-Quran terus dimartabatkan dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata usaha bersama ini amat penting bagi membentuk generasi yang celik al-Quran dan berakhlak mulia.
“Saya mahu mengingatkan kepada para peserta iaitu murid sekolah supaya terus membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran sehingga ke akhir hayat, serta menjadikan amalan itu sebagai panduan utama dalam membentuk peribadi mulia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman yang berlangsung di Masjid Al-Muhtadin Saratok, hari ini.
Majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan murid-murid menamatkan bacaan al-Quran dengan jayanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin telah mewakili ADUN Kalaka untuk menyempurnakan majlis berkenaan, menandakan sokongan padu pihak kerajaan dan masyarakat terhadap usaha pendidikan al-Quran.
Seramai 78 peserta daripada murid-murid Tahun Enam SK Abang Abdul Rahman berjaya menamatkan bacaan al-Quran, menzahirkan hasil usaha berterusan pihak sekolah dan guru dalam membimbing mereka.
Mohamad Duri turut menekankan bahawa kejayaan ini bukan sahaja milik para pelajar, tetapi juga hasil kerjasama erat antara guru, pihak sekolah dan ibubapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan.
Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan secara berterusan bagi memastikan generasi muda kekal berpegang kepada nilai murni al-Quran, sekaligus menyemai minat membaca dan memahami kitab suci sejak kecil.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Guru Besar SK Abang Abdul Rahman, Mahrup Engga berkata bahawa objektif utama penganjuran majlis khatam tersebut adalah untuk memastikan para murid celik al-Quran dan mampu mengkhatamkannya seawal peringkat sekolah rendah, selaras dengan usaha sekolah melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
Oleh Adi Safarman