
BALAI RINGIN: Gangsterisme dan budaya buli dalam kalangan pelajar mesti dihentikan segera kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan murid, malah melemahkan keseluruhan komuniti sekolah.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie menegaskan perlunya semua pihak memerangi elemen negatif seperti gangsterisme dan buli yang boleh menghancurkan potensi generasi muda.
“Ia merosakkan masa depan dan melemahkan komuniti sekolah. Kita perlukan budaya empati, hormat-menghormati dan keberanian mempertahankan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Ringin 2025 di sini hari ini.
Doris turut menggesa ibubapa serta guru supaya terus peka terhadap perubahan tingkah laku murid, selain memainkan peranan aktif dalam membina persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni.
“Murid juga perlu memilih kebaikan, menyokong rakan dan menjadi sebahagian daripada komuniti sekolah yang positif,” katanya.
Doris menambah bahawa kerjasama erat antara ibubapa dan guru merupakan kunci dalam melahirkan generasi berakhlak, berdisiplin serta cemerlang.
“Hubungan baik ini perlu terus diperkukuh demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Menyentuh mengenai sukan tahunan sekolah terbabit, Doris menjelaskan sukan bukan sekadar acara pertandingan, tetapi platform penting membentuk disiplin, keyakinan, semangat berpasukan serta keberanian dalam kalangan murid.
“Semua murid yang turun ke padang hari ini adalah pemenang kerana mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi,” katanya.
Oleh Adi Safarman