
KUALA LUMPUR: Program Bulan Menabung SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mencatat terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM251.44 juta, melepasi sasaran awal RM220 juta atau 114.30 peratus bagi tempoh 26 September hingga 2 November lalu.
PTPTN dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menabung bagi menjamin masa depan pendidikan tinggi anak-anak.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan strategi yang dirancang, selain sokongan padu masyarakat.
“Pencapaian ini turut menunjukkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap keperluan perancangan kewangan lebih awal bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak, selaras aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas komitmen membudayakan amalan menabung serta menggesa lebih banyak agensi kerajaan, kerajaan negeri dan badan korporat memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan utama.
Tahun 2025 merupakan tahun kelapan penganjuran BMS bersempena sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober, dengan program turut melibatkan penyertaan ibu bapa dan anak-anak melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan.
Simpanan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000, dividen kompetitif, pematuhan syariah dan jaminan kerajaan ke atas simpanan.- Bernama