

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sarawak (JSJN) berjaya merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM41,017.80 dalam dua serbuan berasingan minggu ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, berkata serbuan pertama dilakukan pada 18 November 2025 sekitar 10.45 malam apabila sepasukan polis dari JSJN menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 dan seorang wanita tempatan berusia 26 tahun di tepi Jalan Borneo.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi methamphetamine seberat 5.54 gram dan 1.48 gram dengan nilai anggaran RM772.00.
Alexson berkata kedua dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Setiap suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A subseksyen 1 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan. Kedua dua suspek direman dua hari bermula 20 hingga 21 November 2025,” katanya.
Tambahnya, serbuan kedua dilakukan pada 19 November 2025 sekitar 4.15 petang apabila polis menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 41 tahun di Jalan Tun Jugah.
“Pemeriksaan menemui satu bungkusan bertulisan Guanyinwang yang mengandungi satu lagi paket plastik dengan methamphetamine seberat 1059.10 gram bernilai RM40,245.80.
“Suspek pertama didapati negatif dadah manakala suspek kedua positif amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod mendapati suspek pertama tiada rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau,” katanya.
Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang dua belas sebatan. Kedua dua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 November 2025.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini hasil risikan berterusan serta maklumat orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
ACP Alexson turut mengingatkan bahawa orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di 012 208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017 592 9211.
Oleh Connie Chieng