
SEOUL: Selepas 10 tahun menjalin hubungan cinta, pasangan selebriti Korea Selatan, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin bakal menamatkan zaman bujang mereka dengan melangsungkan pernikahan pada 20 Disember ini.
Menerusi kenyataan rasmi agensi mereka, AM Entertainment, memaklumkan bahawa majlis tersebut akan diadakan secara tertutup di Seoul dengan kehadiran keluarga terdekat serta rakan rapat sahaja.
“Berdasarkan kepercayaan mendalam yang dibina sepanjang hubungan mereka, Shin Min Ah dan Kim Woo Bin berjanji untuk membina kehidupan bersama sebagai suami isteri sehidup semati,” katanya.
Agensi berkenaan turut memohon doa serta sokongan peminat untuk pasangan tersebut yang disifatkan sedang membuat keputusan paling bermakna dalam hidup mereka.
Pasangan itu juga dijangka meneruskan kerjaya seni masing-masing selepas berkahwin.
“Kami berharap semua dapat memberikan restu buat mereka. Shin Min Ah dan Kim Woo Bin akan terus komited dalam kerjaya seni dan membalas kasih sayang peminat,” katanya.
Sementara itu, Kim Woo Bin turut mengumumkan berita gembira itu kepada peminat melalui sepucuk surat tulisan tangan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diterima selama ini.
“Saya mahu menjadi orang pertama yang berkongsi berita ini dengan anda, peminat tersayang yang sentiasa menyokong saya tanpa mementingkan diri. Ya, saya akan berkahwin,” tulisnya.
Untuk rekod, pasangan itu mula menjalin hubungan sejak 2015 dan hubungan mereka menjadi semakin utuh apabila Woo Bin berdepan masalah kesihatan pada 2017. – Agensi