
SINGAPURA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), hari ini.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee bersama isteri, Datin Dr Haniza Zainal Abidin, serta Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Fenny Nuli.
Lawatan itu juga disertai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Indera Dr Azfar Mohamad Mustafar dan isteri, Datin Indera Che Norhayati Soib.

Ketibaan delegasi Sarawak disambut oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee yang juga Pengarah STATOS, sebelum mereka dibawa meninjau ruang pameran yang menampilkan pelbagai produk unggul Sarawak merangkumi makanan, kraf tangan, hasil pertanian dan barangan gaya hidup.
Pengerusi STATOS, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, turut mengiringi kunjungan berkenaan sambil memberi penerangan mengenai strategi memperkukuh rangkaian perniagaan, meningkatkan eksport dan meluaskan pasaran produk tempatan ke Singapura.
Lawatan berkenaan bukan sahaja memperkukuh peranan STATOS sebagai pintu masuk utama produk Sarawak ke pasaran global, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa hubungan perdagangan dengan Singapura.
-UKAS