
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 190,304 perkahwinan dan 60,457 penceraian pada 2024, menurut laporan Perangkaan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerusi kenyataan sempena laporan itu berkata bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2024 meningkat 0.9 peratus berbanding 188,614 pada 2023.
“Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) kekal tidak berubah iaitu 5.6 bagi setiap seribu penduduk pada 2024. Perkahwinan orang Islam menyumbang 72.3 peratus daripada keseluruhan perkahwinan yang direkodkan,” katanya.
Beliau berkata bilangan perceraian meningkat 4.1 peratus daripada 58,095 (2023) menyebabkan Kadar Perceraian Kasar (CDR) meningkat kepada 1.8 (2024) daripada 1.7 (2023) bagi setiap seribu penduduk.
“Bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 7.3 peratus pada 2024 (47,577) berbanding 2023 (44,322),” katanya.
Sementara itu, laporan itu menyatakan bilangan rujuk menurun 4.7 peratus kepada 5,563 pada 2024 berbanding 5,835 pada tahun sebelumnya.
Selangor mencatatkan bilangan rujuk tertinggi dengan 1,148, manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah terendah iaitu 13.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), rujuk bermaksud ‘mengembalikan isteri yang telah ditalak raj’ie kepada ikatan perkahwinan dengan lafaz tertentu’.- Bernama