

KABONG: Projek menaik taraf kawasan parkir di Pantai Tanjung Kembang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta dijangka meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kelancaran trafik di destinasi pelancongan popular itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata projek berimpak tinggi ini penting untuk menampung jumlah pengunjung yang semakin meningkat ke Pantai Tanjung Kembang, sekali gus memperkukuh pembangunan pelancongan dan ekonomi setempat.
Beliau berkata demikian semasa Lawatan Tapak dan Sesi Libat Urus Projek Naik Taraf Parkir di Pantai Tanjung Kembang Kabong yang diadakan hari ini.
Sesi berkenaan yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Saratok merupakan langkah awal sebelum pelaksanaan projek yang telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Perbincangan sesi libat urus tertumpu kepada penetapan tapak, sempadan kawasan kerja, keperluan teknikal dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan projek dapat dimulakan mengikut jadual.
Beberapa cadangan penambahbaikan turut dikemukakan bagi memastikan reka bentuk parkir yang bakal dibangunkan memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
Projek ini diharapkan dapat menyediakan kemudahan parkir yang lebih tersusun, selamat dan sistematik, sekali gus menyokong peningkatan jumlah pengunjung, melancarkan aliran trafik serta memberi manfaat kepada masyarakat dan sektor pelancongan Kabong.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Saratok yang juga Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; wakil ADUN Kabong, Nur Elffi Amir; Setiausaha Majlis Daerah Saratok, Mccrea Joseph Pererra serta tetamu kenamaan yang lain.
Oleh Adi Safarman