
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memperketat pemeriksaan kebersihan premis makanan dengan memfokuskan aspek keselamatan makanan dan kawalan tikus di beberapa lokasi tumpuan.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPS Jackleen Apek berkata, fokus utama pemeriksaan ialah memastikan kebersihan dalam kedai berada pada tahap memuaskan meliputi dinding, lantai serta semua peralatan yang digunakan untuk penyediaan makanan.
“Semua peralatan seperti sudu, garpu, papan pemotong, botol dan mangkuk mesti dalam keadaan baik, tidak retak atau sumbing. Papan pemotong juga tidak boleh digunakan secara bercampur untuk pelbagai jenis makanan, manakala kuali mesti bebas karat,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemeriksaan kebersihan ke atas kedai kopi di sekitar kawasan Pasar Malam Sibu, hari ini.
Beliau berkata, susunan peti sejuk dan cara penyimpanan makanan turut diperiksa bagi memastikan makanan ditutup rapi dalam bekas yang sesuai serta dilabel bagi tujuan penyimpanan yang selamat.
“Rak penyimpanan pula tidak boleh berada terlalu rendah supaya tidak terdedah kepada risiko pencemaran dari lantai.
“Kami juga memastikan peralatan dan kemudahan lain berfungsi dengan baik seperti paip air, sistem flush tandas, kabel serta sinki yang mencukupi. Kipas perlu bersih, tidak berdebu dan tidak meninggalkan kesan kotor pada dinding, manakala pintu yang rosak perlu dibaiki segera, pencahayaan premis juga mesti terang,” katanya.


Beliau memberitahu, antara isu yang sering dikesan ialah kehadiran najis atau tanda-tanda tikus dalam premis.
“Dalam kes sedemikian, pemilik premis akan diarahkan melaksanakan kawalan serangga dan tikus (pest control) melalui syarikat kawalan serangga yang bertauliah serta menyimpan rekod kawalan serangga dan tikus sebagai bukti pemantauan berkala.
“Jika terlalu banyak tanda kehadiran tikus dikesan, kekerapan kawalan serangga dan tikus akan ditingkatkan kepada dua kali sebulan. Jika hanya satu atau dua kes, pemantauan selama sekali ebulan sudah mencukupi,” ujarnya.
Setakat ini, katanya, MPS tidak mengenakan penalti kepada peniaga, namun notis dan pemantauan adalah tindakan standard yang dilaksanakan.


“MPS tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis sepenuhnya, tetapi kami boleh mengarahkan premis ditutup selama sehari untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau berkata, selepas notis dikeluarkan, pemilik premis akan diberikan tempoh 14 hari untuk melakukan pembersihan premis dan penambahbaikan.
“Pemeriksaan susulan pula akan dilakukan dalam tempoh tujuh hingga 14 hari mengikut kesesuaian. Jika premis gagal mematuhi arahan selepas tiga kali pemeriksaan, kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut,” ujar beliau.
Operasi berkenaan diketuai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat, dengan penyertaan ahli majlis MPS serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh Akun Giman