
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 22,881 kertas undi pos kepada semua individu yang layak sebagai pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengeluaran kertas undi pos dilakukan pada 17 dan 18 November di semua 73 bahagian pilihan raya negeri oleh petugas undi pos yang dilantik.
Beliau berkata jumlah kertas undi yang dikeluarkan meliputi 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A yang merangkumi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media, dan 336 kertas undi pos bagi kategori 1B melibatkan warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara.
Turut dikeluarkan ialah 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C yang melibatkan agensi dan organisasi termasuk Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kesihatan.
“Kategori C turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pegawai Jabatan Pendaftaran Negara di UTC serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khairul Shahril berkata proses pengeluaran kertas undi pos disaksikan oleh ejen undi pos yang mewakili parti politik atau calon yang bertanding bagi memastikan ketelusan sepanjang proses tersebut.
Beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi dan melengkapkan Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan betul, sebelum mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing selewat-lewatnya 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 29 November.
“Pengundi juga dinasihatkan menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam atau menularkan gambar kertas undi pos di media sosial,” katanya.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php – Bernama