
SARIKEI: Lima projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang telah siap di beberapa rumah panjang menjadi bukti kesinambungan usaha meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.
Jurucakap Pusat Khidmat Repok, berkata projek-projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf infrastruktur di Rumah Empaling Lanyau, Rumah Jessica Patrick, Rumah Kiong Rangi, Rumah Setia Ungok dan Rumah Angelessa.
“Di Rumah Empaling Lanyau, Ulu Sarikei, projek pembinaan jalan simen telah siap sepenuhnya, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk untuk urusan harian.
“Turut siap adalah lantai simen rumah panjang di Rumah Jessica Patrick, memberikan kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada para penghuni.
“Sementara itu, di Rumah Kiong Rangi, kerja-kerja membina lantai simen dan parit siap dilaksanakan di bawah peruntukan RTP 2025 bagi memperbaiki sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, di Rumah Setia Ungok, Ulu Minus, projek parit simen turut disiapkan untuk membantu aliran air yang lebih teratur di kawasan rumah panjang.
“Manakala, di Rumah Angelessa, projek longkang bertutup dan tembok gabion turut siap, sekali gus meningkatkan perlindungan tebing daripada hakisan.
“Kesemua penyerahan tapak projek disaksikan oleh Kapitan Ling Dien Yong bagi pihak Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
“Projek-projek tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat luar bandar menerima kemudahan asas yang lebih baik dan selamat,” katanya.
Oleh Earl Anek