Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Portugal tempah slot ke Piala Dunia 2026 tanpa Ronaldo, Haaland bawa tuah Norway 
  • SUKAN

Portugal tempah slot ke Piala Dunia 2026 tanpa Ronaldo, Haaland bawa tuah Norway 

Utusan Sarawak 20 hours ago

Dalam ketiadaan Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Joao Neves (kiri) masing-masing menjaringkan hatrik ketika Portugal membelasah Armenia. Foto AFP

PARIS: Portugal menempah tiket ke Piala Dunia 2026 dengan kemenangan besar 9-1 ke atas Armenia awal pagi tadi, manakala dua gol Erling Haaland mengesahkan tempat Norway di pentas dunia itu selepas mereka membelasah Itali 4-1 di tempat lawan.

Selepas diikat Hungary dan kemudian dikejutkan Republik Ireland sebelum ini, Portugal akhirnya mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan F pada percubaan ketiga dengan kemenangan besar ke atas pasukan tercorot Armenia.

Tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang digantung, dua bintang tengah Bruno Fernandes dan Joao Neves masing-masing menjaringkan hatrik ketika Portugal mengganas di Porto.

Renato Veiga, Goncalo Ramos dan Francisco Conceicao turut mencetak nama sebagai penjaring.

“Perkara paling penting adalah layak ke Piala Dunia,” kata pemain tengah Paris Saint-Germain, Neves, kepada RTP.

“Bagi saya, seperti yang selalu saya katakan, pasukan sentiasa datang sebelum individu. Saya sangat gembira menjaringkan gol pertama untuk pasukan kebangsaan — dan juga gol kedua serta ketiga.”

Portugal akan beraksi di Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut, satu kejuaraan yang masih belum mereka menangi.

“Kami ke Piala Dunia! Vamos, Portugal!” tulis Ronaldo di media sosial.

Penyerang itu mungkin terlepas aksi pembukaan kejohanan bergantung kepada sama ada FIFA melanjutkan penggantungannya melebihi satu perlawanan yang telah dilaluinya ketika menentang Armenia.

Ireland mengesahkan tempat play-off hasil gol hatrik minit ke-96 oleh Troy Parrott yang memberikan mereka kemenangan 3-2 ke atas Hungary.

Daniel Lukacs meletakkan tuan rumah di depan selepas empat minit, sebelum Parrott menyamakan kedudukan melalui penalti.

Gol Barnabas Varga pada minit ke-37 seakan-akan sudah mencukupi untuk Hungary, namun Parrott — yang kini mengumpul lima gol antarabangsa minggu ini — sekali lagi menjadi wira Ireland.

Penyerang AZ Alkmaar itu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80, sebelum merembat masuk gol kemenangan hasil tolakan Liam Scales pada masa kecederaan untuk membawa Ireland ke play-off Mac nanti.

‘Tak masuk akal langsung’

Itali memerlukan keajaiban di Milan untuk merampas tempat pertama Kumpulan I kerana kelebihan perbezaan gol dramatik yang dimiliki Norway.

Pio Esposito memberi harapan tipis dengan gol awal, namun Italy gagal menembusi pertahanan kental Norway sekali lagi.

Antonio Nusa menyamakan kedudukan selepas sejam, sebelum Haaland — seperti dijangka — menjaringkan dua gol dalam masa 60 saat untuk membalikkan keadaan.

Jorgen Strand Larsen menambah satu lagi pada masa kecederaan ketika Norway merekodkan lapan kemenangan daripada lapan perlawanan.

Ini merupakan penampilan pertama Norway di Piala Dunia sejak 1998.

“Saya gembira, tetapi lebih kepada rasa lega. Tekanan sangat tinggi, dan saya merasakannya. Tapi ia menyeronokkan,” kata Haaland kepada TV 2, selepas menamatkan kempen sebagai penjaring 16 gol.

Erling Haaland menjaringkan 16 gol untuk Norway sepanjang kempen kelayakan lapan perlawanan. Foto AFP

“Tak boleh digambarkan… memang tak masuk akal. Cara kami lakukannya sangat luar biasa. Ini sangat besar,” kata Martin Odegaard.

Negara lain yang layak

Perancis telah menempah slot lebih awal selepas menang ke atas Ukraine, dan menamatkan kempen mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Azerbaijan.

Ukraine menewaskan Iceland 2-0 menerusi dua gol lewat daripada Oleksandr Zubkov dan Oleksii Hutsuliak, sekali gus meraih tempat kedua Kumpulan D.

England kendalian Thomas Tuchel melengkapkan prestasi sempurna — menang 2-0 ke atas Albania — untuk menamatkan kempen dengan rekod 100 peratus, menjaringkan 22 gol tanpa bolos, rekod Eropah bagi pasukan yang bermain sekurang-kurangnya enam perlawanan kelayakan.

“Saya rasa ini pasukan terbaik yang kami pernah ada,” kata Harry Kane, yang menjaringkan kedua-dua gol England.

“Bila tengok kesebelasan utama dan pemain yang masuk dari bangku simpanan, kami akan pergi ke kejohanan sebagai salah satu pilihan.”

Dengan Albania sudah pasti di tempat kedua, Serbia menewaskan Latvia 2-1 dalam aksi tidak membawa makna lain di Kumpulan K. – AFP

Continue Reading

Previous: England bersedia untuk Piala Dunia selepas kempen sempurna

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.