Hanya kapten England, Harry Kane (kanan), yang kini memiliki rekod 78 gol untuk negaranya, dianggap tidak dapat diganti. Foto AFP.
TIRANA, (Albania): England menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia mereka yang sempurna dengan kemenangan rekod 2-0 ke atas Albania awal pagi tadi.
The Three Lions, yang meraih maksimum mata dalam lapan perlawanan, menjadi pasukan Eropah pertama memenangi semua aksi kelayakan Piala Dunia tanpa bolos dalam kempen sekurang-kurangnya enam perlawanan.
AFP Sport melihat tiga faktor utama yang boleh membantu skuad Thomas Tuchel muncul juara pada kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico:
Kecerdikan taktikal Tuchel
Selepas permulaan yang perlahan, Tuchel telah menyegarkan kembali England sepanjang 11 bulan ini, dengan gerakan taktikalnya memberi impak besar.

Pendahulunya, Gareth Southgate, sering dikritik kerana pendekatan berhati-hati dan lambat membuat pertukaran pemain.
Sikap terlalu konservatif menyebabkan kekalahan di final Euro 2021, Euro 2024 dan separuh akhir Piala Dunia 2018.
Tuchel, yang pernah memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea serta gelaran domestik bersama Bayern Munich dan PSG, membawa pengalaman itu ke England.
Dalam dua perlawanan terakhir, pertukaran pemain beliau menghasilkan gol – termasuk bantuan rakan sepasukan untuk jaringan Harry Kane.
Beliau juga tegas dalam pengurusan Jude Bellingham, tidak memanjakan pemain itu dan memberi peringatan bahawa tempatnya tidak terjamin.
‘Playbook NFL England’
Kapten England, Harry Kane, mendedahkan bahawa Tuchel mahu membina ‘playbook’ ala NFL untuk situasi bola mati.
England kini mempunyai set rutin sepakan penjuru, sepakan percuma dan lontaran jauh bergaya Amerika untuk mengeksploitasi kelemahan lawan.
Gol pertama Kane menentang Albania lahir daripada sepakan penjuru Saka—amaran kepada lawan England di Piala Dunia.
Kekuatan skuad yang mendalam
England kini mempunyai barisan pemain yang sangat luas dan berbakat. Di Tirana, Tuchel membuat tujuh pertukaran tetapi masih menurunkan pasukan berkualiti tinggi, menamatkan rekod tanpa kalah Albania.
Walaupun beberapa bintang utama tiada, pemain seperti Nico O’Reilly, Eze, Bowen, Anderson dan lain-lain menunjukkan prestasi meyakinkan.

Satu-satunya pemain yang sukar diganti ialah Harry Kane, yang kini mengumpul 78 gol untuk England.
Tuchel mungkin pening untuk memilih skuad akhir, namun ini generasi emas yang perlu dimanfaat sepenuhnya. – AFP