
KUALA LUMPUR: Beregu badminton wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah membuktikan keampuhan mereka di pentas antarabangsa apabila merangkul gelaran ketiga musim ini selepas muncul juara Masters Jepun 2025 di Kumamoto, hari ini.
Pada pertembungan akhir di Gimnasium Kumamoto Prefectural itu, pilihan utama kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan dipaksa berhempas pulas sebelum mengetepikan beregu tuan rumah yang juga pilihan keempat, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam tempoh 54 minit.
Kejayaan tersebut mengukuhkan rekod cemerlang Pearly-Thinaah yang kini merekodkan tujuh kemenangan daripada sembilan pertemuan menentang pasangan Jepun yang menghuni ranking ketujuh dunia itu.
Gandingan ranking kedua dunia itu meraih gelaran pertama mereka tahun ini pada kejohanan Terbuka Thailand pada Mei, diikuti Terbuka Artik di Vantaa, Finland bulan lepas.
– BERNAMA