


Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan oleh BSPT IPD Betong bersama JPJ Betong di tiga lokasi tumpuan sekitar Pusa dan Beladin, semalam. Foto: IPD Betong
BETONG: Sebanyak 11 keping saman PDRM (K257) dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Betong di tiga lokasi tumpuan sekitar Pusa dan Beladin, semalam.
Operasi yang berlangsung dari 6.00 petang hingga 10.00 malam itu melibatkan gabungan 25 pegawai dan anggota PDRM daripada pelbagai bahagian termasuk BSPT, KBPD, Balai Polis Beladin, Pengangkutan Betong, BPJKK, BSJND dan BSJKD, selain 10 anggota JPJ Betong.
Tiga lokasi pemeriksaan utama ialah Jalan Pusa–Beladin, Jambatan Batang Saribas 1 dan Jalan Pusa–Kaba.
Sepanjang operasi, sebanyak 40 kenderaan diperiksa, terdiri daripada 35 motosikal dan lima motokar, melibatkan 42 individu iaitu 32 lelaki dan 10 perempuan.


Operasi Bersepadu Motosikal yang dijalankan oleh BSPT IPD Betong bersama JPJ Betong di tiga lokasi tumpuan sekitar Pusa dan Beladin, semalam. Foto: IPD Betong
Hasil pemeriksaan mendapati 11 saman PDRM dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu enam saman tidak memakai topi keledar, dua tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos dan kesalahan hon masing-masingnya satu saman.
Sementara itu, JPJ mengeluarkan 47 notis atas pelbagai pelanggaran, merangkumi 40 notis saman P.22, satu notis P.23, tiga notis larangan penggunaan kenderaan (PG.1) serta tiga notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1).
Secara keseluruhan, 58 tindakan penguatkuasaan direkodkan dalam operasi berkenaan.
Tiada tangkapan, rampasan atau sitaan kenderaan dibuat, dan tiada kes mencurigakan atau insiden berbahaya dilaporkan.
Menurut BSPT Betong, operasi ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman