

SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak mengeluarkan sebanyak 24 notis ketidakakuran atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan 2025, semalam.
JPJ Negeri Sarawak menerusi kenyataannya memberitahu, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh, serta tidak menggunakan tali pinggang keledar.
Operasi tersebut dijalankan melalui Unit Falcon, JPJ Cawangan Sibu secara rondaan dan pemantauan di sekitar Pusat Bandar Sibu, Jalan Ulu Oya dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
JPJ Sarawak berkata, operasi ini dijalankan bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya khususnya melibatkan kenderaan perdagangan serta memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa di jalan raya.
JPJ Sarawak menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
Orang ramai turut digesa agar sentiasa memastikan lesen memandu, cukai jalan dan keadaan teknikal kenderaan berada dalam keadaan baik serta sah tempoh kuatkuasa bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
Oleh Akun Giman