

Mohamad Duri semasa hadir pada Mesyuarat DAC Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan agar semua agensi pelaksana memberi perhatian serius terhadap projek pembangunan yang mengalami kelewatan atau masih belum dimulakan di Daerah Saratok terutamnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, semalam.
Menurut Mohamad Duri, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada laporan kemajuan dan pelaksanaan semua projek pembangunan di Daerah Saratok yang sedang berjalan di bawah pelbagai agensi pelaksana.
Antara agensi yang membentangkan laporan ialah Pejabat Daerah Saratok, Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Majlis Daerah Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong, Jabatan Pertanian Saratok, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas, serta Sarawak Energy Berhad.


Mohamad Duri semasa hadir pada Mesyuarat DAC Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka
Mesyuarat turut meneliti laporan pelaksanaan projek utama seperti pembinaan jalan utama kedua di Simpang Roban yang menjadi antara keutamaan kerajaan negeri bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Bagi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi kawasan DUN Kalaka, beberapa projek telah dikenal pasti untuk ditender dan dicabut undi dalam masa terdekat.
“Saya berharap projek yang lewat atau belum dimulakan diberikan perhatian serius oleh pihak agensi pelaksana.
“Bagi projek yang telah bermula, pastikan ia disiapkan mengikut jadual agar keperluan rakyat dapat dipenuhi,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Mohamad Duri turut menzahirkan penghargaan kepada semua ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang hadir dalam mesyuarat tersebut, termasuk ketua-ketua masyarakat Daerah Saratok yang sentiasa menyokong usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
Hadir sama ADUN Krian, Friday Belik, serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan projek pembangunan di daerah berkenaan.
Oleh Adi Safarman