

SIBU: Sebanyak 60 set Kit Sains bernilai RM1.2 juta sumbangan Petronas dijangka akan diagihkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sarawak bermula Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, ini merupakan permulaan untuk memastikan keperluan dalam bidang Sains di sekolah rendah di Sarawak dapat dipenuhi.
Menurutnya, Kit Sains tersebut mengandungi lebih 50 jenis peralatan pembelajaran Sains, termasuk mikroskop dan tabung uji.
“Kita sedang mengatur suatu cara, ada setengah PPD yang di bandar, tapi lebih baik saya mencadangkan ada sekolah tertentu yang diamanahkan untuk menjaga menjaga alat-alat ini dan sekolah-sekolah lain boleh meminjam daripada sekolah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Karnival STEM Sekolah Kebangsaan Sungai Pasai di sini, hari ini.
Penganjuran karnival tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada murid sekolah menerokai pelbagai aktiviti berasaskan STEM, antaranya pembinaan replika jambatan, penggunaan pen 3D, pembuatan roket, serta projek elektronik.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, program seumpama itu amat penting untuk menyemai minat murid sekolah rendah terhadap bidang STEM.
“Ini sekali gus menjadi usaha ke arah meningkatkan jumlah pelajar yang memilih aliran sains di sekolah menengah pada masa akan datang,” ujarnya.
Oleh Akun Giman