LENGGONG: Pembangunan Geopark Lenggong di sini tidak akan menjejaskan tapak warisan dunia Lembah Lenggong yang sudah lama diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata pembangunan Geopark Lenggong akan menjadi pelengkap dan memperkukuh tapak warisan dunia itu yang mendapat pengiktirafan pada 2012.
Katanya pihaknya telah memohon peruntukan sebanyak RM4.3 juta kepada Kementerian Kewangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk kerja-kerja pembangunan seperti memelihara dan memulihara semua bahan berkaitan di tapak itu.
“Kita hendak bangunkan secara menyeluruh dengan pembangunan hiliran dan infrastruktur supaya Geopark Lenggong mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan seterusnya ke peringkat global.
“Saya yakin jadual yang disusun itu sudah sempurna dan saya percaya dalam pertengahan 2021 kita akan peroleh pengiktirafan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan dan pada 2025 sebagai Lenggong Geopark Global,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Aspirasi Lenggong Geopark bertemakan Memasyarakatkan Geopark Untuk Pembangunan Lestari Wilayah di Dewan Merdeka di sini, semalam.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata Geopark Lenggong dibangunkan selepas Geopark Kinta di Ipoh, Langkawi dan Jerai di Kedah.
Katanya sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada 2015 di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan bertujuan mengumpul dokuman atau ‘dossier’ untuk dikemukakan kepada Unesco.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata pembangunan geopark tidak menghalang aktiviti hasilan sumber asli seperti aktiviti perlombongan dan pembalakan namun ia perlu dipantau serta dikawal rapi oleh pihak berkuasa.
“Pembangunan ini juga akan memberi impak kepada kegiatan ekonomi termasuk aktiviti inap desa, pemandu pelancong, pengusaha makanan, kraftangan dan pengangkutan,” katanya.- Bernama