

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyeru agar pembinaan semula bangunan asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Antu disegerakan tanpa perlu dilaksanakan secara berfasa memandangkan keadaannya yang terlalu usang dan tidak lagi selamat didiami.
Beliau menegaskan, struktur bangunan asrama berkenaan kini dalam keadaan daif dan tidak sesuai untuk dihuni oleh murid-murid, sekali gus menjejaskan keselesaan dan keselamatan mereka.
“Memandangkan bangunan asrama SK Sungai Antu terlalu usang, saya mohon supaya pembinaannya disegerakan tanpa berfasa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di tapak asrama berkenaan semalam telah dilakukan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, yang mewakili ADUN Kalaka.
Menurut beliau, pihaknya telah berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok dan dimaklumkan bahawa permohonan bagi menaik taraf asrama tersebut telah dikemukakan di bawah Program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) Kementerian Pendidikan (KPM).
Tambahnya, bangunan asrama itu turut disenaraikan untuk menerima peruntukan pada tahun hadapan, namun difahamkan kerja-kerja naik taraf akan dilaksanakan secara berfasa.
“Saya menggesa pihak berwajib agar mempertimbangkan supaya kerja pembinaan dilakukan secara menyeluruh dan segera, kerana keadaan bangunan sekarang amat membimbangkan,” tegas beliau.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pemangku Guru Besar SK Sungai Antu, Sita Inka; Yang Dipertua PIBG SK Sungai Antu, Tuai Rumah Dom Brues; serta Tuai Rumah Ikom dan Tuai Rumah Amban.
Oleh Adi Safarman