
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka kembali beraksi di Terbuka Australia pada 18 hingga 23 November ini, kata ketua jurulatih kebangsaan Nova Widianto.
Beliau berkata sebelum ini, gandingan negara itu terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan susulan kecederaan bahu yang dialami Tang Jie, dan perkara itu disarankan oleh pasukan perubatan bagi mengelakkan kecederaan serius.
“Saya rasa pada Terbuka Australia, semua sudah okey. Mudah-mudahan dari latihan, jangan ada yang sakit lagi,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Menurut Nova, buat masa ini Tang Jie dalam proses penyesuaian dan mencari kembali pukulannya selepas berehat seketika susulan kecederaan itu.
Sebelum ini, beregu campuran negara itu mengakui tidak berada pada tahap terbaik ketika tewas di suku akhir kpeada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 9-21, 18-21 di Terbuka Perancis 2025.- Bernama