ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Sarawak semalam merekodkan enam lagi kes baharu positif Covid-19, dengan empat kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan dua kes di Hospital Bintulu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak 414 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
“Manakala, sebanyak 105 kes baharu individu yang disyaki (PUI) dilaporkan dan 126 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
“Hari ini terdapat empat lagi kes positif telah sembuh dan discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 68,” katanya pada sidang media laporan Covid-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia semalam.
Beliau menambah kesemua empat kes positif yang sembuh itu adalah dari Hospital Umum Sarawak.
“Jika dibandingkan dengan hari sebelumnya, kes PUI baharu dan kes PUI masih menunggu keputusan di Sarawak menurun dengan drastik.
“Ini menunjukkan kapasiti untuk kita melakukan ujian Covid-19 telah bertambah baik,” katanya.
Uggah berkata, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah 97 % dan pada Ahad, polis telah menangkap 141 orang kerana melanggar PKP.
“Kita amat berterima kasih kepada orang awam kerana memberi sokongan, memahami dan mematuhi PKP.
“Kita juga faham, anda telah mengorbankan pekerjaan dan keselesaan dan dengan pengorbanan ini akan membantu negeri kita untuk menang dalam peperangan membanteras wabak Covid-19 daripada merebak,” tegas Uggah.
Beliau menambah jika ada yang masih keliru sama ada untuk mematuhi atau tidak mematuhi PKP, beliau menasihatkan untuk terus mematuhi PKP demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri, keluarga dan komuniti.