
BINTULU: Bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah James Kalip di Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak–Kuala Tatau akan disalurkan tanpa mengira sama ada mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau kekal di kawasan setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan semua mangsa menerima bantuan segera melibatkan keperluan asas, dokumen penting dan sokongan susulan.
“Perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang berjalan berhubung penempatan mangsa.
“Apa pun keputusan mereka, bantuan tetap akan diberikan,” katanya selepas meninjau keadaan di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, koordinasi bantuan melibatkan JKM, Pejabat Daerah Bintulu dan Tatau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau serta Pusat Khidmat DUN Jepak bagi memastikan proses pendaftaran, pengagihan bantuan dan pemantauan kesihatan mangsa berjalan lancar.
Beliau berkata, dewan berhampiran dijadikan pusat penyelarasan maklumat untuk memudahkan pengumpulan data semua penghuni rumah panjang yang terkesan.
Antara bantuan awal yang dipercepatkan adalah penggantian dokumen pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melalui pihak polis serta penyediaan ubat-ubatan baharu bagi pesakit yang kehilangan bekalan dalam kebakaran.
Iskandar turut memberi jaminan bahawa permohonan peruntukan bagi pembinaan semula rumah panjang itu akan dikemukakan kepada Pejabat Daerah Tatau selepas data lengkap mangsa diperolehi.
Kira-kira 20 pintu rumah panjang berkenaan musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran hari ini.
Oleh Carolyne Utih