
KUCHING: Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka diserikan dengan warna-warni budaya India apabila pertandingan Little Miss Bollywood Sarawak 2025 berjaya mencuri tumpuan ramai melalui pesona, keyakinan dan kreativiti peserta ciliknya, baru-baru ini.
Bertemakan Saree & Lenggha (Kontemporari), pertandingan anjuran AI Dot Com Management dengan kerjasama Fly Fly Management serta sokongan Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka itu menampilkan seramai 17 peserta, merangkumi kategori A (5 hingga 10 tahun) dan kategori B (11 hingga 15 tahun).

Peserta berusia lapan tahun dari Siburan, Liezel Joso, dinobatkan sebagai juara kategori A, diikuti Immaculate Klovia, 5, dari Kota Samarahan di tempat kedua dan Nur Dhamia Hasna, 10, dari Sesang, Kabong di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi kategori B, Nur Amydhiya, 13, dari Kuching dinobatkan sebagai juara, manakala Putri Ika, 11, dan Nur Qairiesya Amaniey, 13, dari Gedong masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Beberapa anugerah khas turut disampaikan termasuk Kostum Bollywood Terbaik, Senyuman Menawan, Solekan dan Dandanan Rambut Terbaik, Persembahan Terbaik, Peserta Paling Popular (Media Sosial) serta Kesayangan Penonton, yang mengiktiraf usaha dan bakat tersendiri setiap peserta.

Pertandingan turut menerima tajaan daripada Danial Bundle, Zeed Zeeda Management, Bryano Resources Sdn Bhd dan Cass Photostudio, dengan barisan juri terdiri daripada Marie Angela selaku ketua juri bersama Annie Magdalene, Azida Mohamad dan Maxc Althur dari Plaza Merdeka.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Miss Nursharmimi Izzaty, yang kemudiannya diumumkan sebagai Duta Little Miss Bollywood Sarawak 2025.